
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 15 kes kematian Covid-19 semalam, menurut perincian dikeluarkan GitHub.
Daripada jumlah itu, lima korban diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).
Jumlah kumulatif kematian kini mencecah angka 32,114.
Johor dan Perak masing-masing mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu empat kes, diikuti Kelantan dan Terengganu (masing-masing dua) serta Kedah, Melaka dan Sabah (masing-masing satu).
Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 140,336 kes aktif dilaporkan, termasuk 176 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 98 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 5,442 kes sembuh turut dilaporkan.
Jumlah kumulatif kes Covid-19 direkodkan di negara ini kini mencecah angka 3,019,163.