
Pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara dengan mudah ke peringkat akhir Indonesia Masters selepas menewaskan pencabar dari Denmark dalam masa hanya 28 minit.
Gandingan nombor sembilan dunia itu, yang kali terakhir melangkah ke final Jelajah Dunia di Terbuka Jepun pada Julai lalu, menundukkan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-9, 21-15 di Istora Senayan.
Sze Fei-Izzuddin perlu berdepan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah apabila mereka dijadualkan bertemu pasangan kegemaran tempatan, Sabar Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani, di final esok.
Kejayaan itu menyaksikan mereka menyertai beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah yang telah menempah slot final lebih awal.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara K Letshanaa mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum…