PETALING JAYA: Tiga maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di KM42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, Pahang pada awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan yang dilaporkan pada jam 4.13 pagi itu melibatkan empat kereta, dua treler dan satu lori itu.
“Tiga lelaki yang maut dikenali sebagai Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Sharif, 39, dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23.
“Tiga lagi mangsa lelaki parah, dua wanita cedera dan lima yang lain selamat,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan sebuah treler terbakar sepenuhnya.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.