Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Ogy Ahmad Daud Sokong Cita-Cita Aktor Baru Raih Oscar – “Tapi Kena Belajar”

today3 October 2024

Background

Pelakon berkaliber, Fauziah Ahmad Daud menyokong impian pelakon muda yang menyimpan harapan untuk merangkul trofi Anugerah Akademi atau Oscar.

Ketika diminta untuk memberikan komen mengenai perkara terbabit, Fauziah atau Ogy memberikan dorongan kepada aktor muda itu mengejar cita-cita serta menitipkan nasihat agar usaha yang diberikan setimpal dengan harapan yang diletakkan.

“Mempunyai cita-cita itu percuma, tapi sekiranya impian itu benar-benar dimahukan, ‘work for it’, usaha untuk mencapainya.

“Buktikan kepada kami, anda boleh memenangi Oscar. Tapi kena masuk belajarlah, jangan asal boleh saja. Jangan fikir rambut saja nak cantik dan sebagainya.

“Lakonan bukan sekadar itu sahaja, lakonan bukan hanya dialog. Soalan yang saya selalu dapat adalah bagaimana nak hafal dialog? Saya cukup pantang sebab lakonan bukan terletak pada dialog.

“Ia dari kepala sehingga kaki dan ia adalah rasa. Itu saja,” katanya kepada XTRA.

Ogy ditemui usai sidang media pementasan Teater Di Sebalik Topeng yang di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Menurut Ogy, bagi seorang pelakon muda, ia sesuatu yang baik untuk berfikiran jauh, namun sebagai aktor, usaha untuk sentiasa rajin belajar bagi menambah ilmu dan menambah baik mutu lakonan sangat diperlukan.

“Bagus untuk menyimpan impian global, sebagai seorang kakak dan seniwati saya merasakan pelakon muda banyak sangat yang harus dipelajari.

“Ia bagaimana anda melafazkan dialog dan bagaimana anda mendalami watak serta melontarkan dialog. Ramai yang hanya melontarkan dialog dan tidak memasuki ke dalam watak itu dan melafazkan. Jadi banyak yang kena belajar dan selongkar. Kena tahu semua ‘what when how why’ itu.

“Minda berfikir, jiwanya merasa, pernafasan, pergerakan, bahasa tubuh, semuanya perlu diambil kira. Ia banyak kerja,” katanya.

Mengambil contoh bintang Hollywood seperti Leonardo DiCaprio dan Tan Sri Michelle Yeoh, Ogy menyifatkan untuk meraih kejayaan di Oscar memerlukan pengalaman berpuluh tahun.

“Leonardo DiCaprio mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon kita, Michelle Yeoh.

“Mempunyai impian itu adalah bagus saya mengalu-alukan. Jika awak menyimpan impian itu, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata kosong. Mula cari ilmu di dalam bidang seni lakon ini, barulah awak akan menghargai kraf ini,” katanya.

Written by: Aqilah


Previous post