Pendakwah selebriti yang dikaitkan dengan kes amang seksual, seperti yang didedahkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, kini telah didakwa di mahkamah.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan, pihak polis telah menerima lapan laporan membabitkan individu terbabit.
“Daripada jumlah itu, tujuh kes berlaku di Pulau Pinang manakala satu kes lagi di Kedah. Kes-kes ini melibatkan mangsa remaja lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun dan sedang dalam perbicaraan,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, beliau turut memaklumkan bahawa semua pertuduhan terhadap pendakwah tersebut telah difailkan pada tahun 2023, 2024 dan 2025.
Terdahulu, Nurul Izzah dalam satu hantaran di Facebook mendedahkan kronologi bagaimana pendakwah selebriti berkenaan didakwa memanipulasi minat remaja terhadap nasyid sebagai cara untuk mendekati mereka sebelum melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa.
“Pada usia yang masih mentah, seorang anak lelaki melihat ustaz selebriti itu sebagai pembimbing agama, namun kepercayaan itu dikhianati.
“Dengan alasan membawa remaja itu menonton persembahan nasyid di negeri lain, dia akhirnya mengambil kesempatan.
“Kalau mereka mahu saman, saya akan lawan.
Nurul Izzah turut mendedahkan, mangsa juga telah membuat laporan polis, namun pendakwah terbabit dikatakan bertindak menyaman keluarga mangsa serta menuntut permohonan maaf secara terbuka.
Bagaimanapun, Nurul Izzah menyatakan sokongan padu kepada mangsa dan berusaha memastikan keadilan ditegakkan
Sumber: Harian Metro