Tindakan usahawan, Sasha Abdul Aziz, yang kekal tenang dan berlapang dada selepas ditegur berhubung perkongsiannya mengenai rawatan laser pada bahagian kemaluan mencuri perhatian pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun, yang tampil memberikan pujian secara terbuka.
Menerusi hantaran di Instagram, Asma menyifatkan reaksi Sasha yang tidak melatah, sebaliknya memilih untuk mendengar serta memperbetulkan keadaan sebagai satu sikap matang yang wajar dijadikan contoh.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sasha atas respons yang sangat profesional, tenang dan berlapang dada. Ia jelas menunjukkan dia seorang wanita yang matang, kuat dan sangat terbuka menerima teguran,” katanya.
Mengulas pengakuan Sasha yang menjelaskan niat asalnya berkongsi pengalaman tersebut atas dasar kesihatan wanita tanpa menyedari implikasi hukum, Asma menegaskan ia perlu dilihat dalam konteks kejahilan yang tidak disengajakan dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengecam atau mengaibkan secara berlebihan.

“Apabila seseorang itu benar-benar tidak tahu atau jahil, maka kesalahan itu dimaafkan. Kita juga perlu berhenti menjadikan isu ini sebagai bahan sensasi, kelucahan atau pendedahan melampau.
“Kita perlu terima hakikat bahawa memang ada orang yang benar-benar tidak tahu, dan perkara ini adalah sesuatu yang baharu bagi mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Asma menegaskan sifat malu perlu menjadi pertimbangan utama golongan berpengaruh sebelum berkongsi sesuatu perkara kepada masyarakat.
“Malu itu sebahagian daripada iman. Ia menjadi tapisan awal sebelum kita bertindak, walaupun ketika kita belum mengetahui hukum sebenar.
“Semoga Sasha terus bahagia, tenang dan berjaya. Semoga Allah mengurniakan rezeki yang berkat serta menjadikan Sasha dan suami berkasih sayang hingga ke syurga,” katanya.
View this post on Instagram
Artikel Berkaitan: Sasha Abdul Aziz Tak Terkesan Netizen Kritik Jalani Rawatan Laser Ketatkan Kemaluan – “Ramai Triggered, Saya Cantik Sendiri Sajalah”
Artikel Berkaitan: “Boleh Jatuh Haram Buat Rawatan Alat Kelamin Walau Alasan Untuk Suami” – Ustazah Asma’ Harun