Pelakon, Datuk Aaron Aziz tampil dengan pendirian jelas apabila mengakui dirinya kini lebih berhati-hati dalam memilih watak, malah enggan lagi membawa karakter klise yang sering diulang dalam drama tempatan.
Menurut Aaron, dia sudah ‘penat’ dengan jalan cerita stereotaip seperti kisah cinta lelaki dengan gadis kampung atau pembantu rumah yang sering menjadi formula drama.
“Bukan saya kata saya tak nak buat drama cuma kalau boleh saya tak nak pegang watak yang macam dulu.
“Drama seperti jatuh cinta dengan perempuan kampung, jatuh cinta dengan pembantu rumah. Sebab dah bosan, asyik benda yang sama bukan?” katanya.
Dalam masa sama, Aaron menjelaskan dia masih terbuka menerima tawaran lakonan, namun mengharapkan watak yang lebih segar dan mencabar.
“Kalau ada watak yang best, sudah tentu kita tak boleh sombong sangat. Rezeki kan. Sekarang pun saya tengah jalani penggambaran drama sebanyak 50 episod,” ujarnya.
Aaron berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri iQIYI 2026 yang berlangsung di Andaman Grand Hall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Lebih menarik perhatian, aktor filem Banduan itu turut berkongsi perubahan prinsipnya apabila tidak lagi mahu melakonkan babak bersentuhan secara langsung.
“Kalau boleh saya dah tak nak bawa babak dukung dan bersentuhan.
“Kalau sentuh pun ada ‘halal gap’, berbaju, berlapik dan tak kena kulit. Saya pun dah masuk 50-an. Mana tahu kubur sudah memanggil, kena jagalah,” katanya jujur.
Dalam pada itu, Aaron turut melihat perkembangan industri seni tanah air dari sudut positif apabila semakin ramai bakat baharu muncul.
“Macam cendawan tumbuh selepas hujan. Tapi baguslah. Bagus untuk industri kita, ramai pelakon baru, pelapis-pelapis yang akan datang untuk menaikkan kita punya standard drama dan filem.
“Dengan adanya lambakan platform penstriman, ramai pengarah, penerbit dan jurukamera yang boleh cuba nasib dan tonjolkan bakat serta kebolehan mereka,” katanya.