Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Ada Kemungkinan Lumpuh, Azlan Komeng Risau Fikir Masa Depan Isteri & Anak-Anak

today21 October 2024

Background

Pelakon, Azlan Komeng memaklumkan doktor yang merawatnya memberitahu dia berpotensi untuk lumpuh akibat kecederaan teruk selepas terbabit kemalangan, 12 Oktober lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Azlan mengakui terkesan dengan kenyataan doktor mengenai kondisinya tidak dapat bekerja memberi kesan kepada nasib kehidupan isteri, Nur Nilam dan anak-anak.

“Saya belum lumpuh, tapi doktor kata ada potensi boleh lumpuh sekiranya kecederaan teruk dialami pada kaki kiri ini tidak dijaga dengan betul-betul.

“Kecederaan yang saya alami akibat kemalangan itu agak teruk juga. Jadi, apabila doktor beritahu saya mungkin lumpuh, memang perasaan ‘down’ sangat ketika itu.

“Doktor juga beritahu saya perlukan masa lima ke enam bulan untuk pulih semula dan mestilah dalam tempoh itu tidak boleh bekerja, sekali gus kewangan terganggu.

“Sebagai ketua keluarga bila dapat tahu keadaan diri saya dah tak dapat cari rezeki untuk keluarga seketika, memang buat saya banyak fikir. Sewa rumah nak kena bayar, anak nak sekolah, jadi saya memang tak mahu susahkan isteri,” katanya.

Azlan Komeng

Dalam pada itu, Azlan turut mendedahkan dia pernah bertanya kepada Nilam sekiranya dia mahu membawa haluan masing-masing selepas berpotensi lumpuh.

“Saya luahkan kepada isteri, Nur Nilam jika dia nak bawa haluan masing-masing, silakan. Saya tak nak dia tertekan nanti dengan keadaan saya yang dah macam ni, kena bekerja dan kenderaan pun sudah tiada.

“Saya hanya memikirkan yang terbaik untuk isteri sebab dah dapat selamatkan dia daripada alami kecederaan teruk dalam kemalangan itu pun dah buat saya sangat bersyukur. Tapi, isteri pun cedera juga,” ujarnya lagi.

Pada 12 Oktober lalu, Azlan bersama isterinya, Nur Nilam Ortiz serta anak mereka, Adam,5 terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Azlan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, siku tangan kanan, tulang pinggul kanan lari, kaki kiri luka dalam dan patah, manakala Nilam cedera di tulang rusuk, muka dan kepala akibat terhentak.

Pada kejadian yang berlaku jam 2 pagi itu, Azlan memandu kereta jenis Perodua Kancil bertembung dengan trak polis dan kerosakan keretanya adalah ‘total loss’.

Artikel Berkaitan: Isteri Salah Faham Punca Dakwaan Cerai Tular, Azlan Komeng Perjelas Gaduh Bukan Sebab Orang Ketiga Tapi…

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post