Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Aina Abdul Beri Tumpuan Kekuatan Vokal Di Konsert MPO, Fesyen Atau Busana Jatuh Nombor Tiga

today2 May 2024

Background

Penyanyi popular, Aina Abdul mahu memberikan fokus utama kepada kekuatan vokal dalam menjayakan konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 10 dan 11 Mei ini.

Menyifatkan tawaran yang hadir bagai bulan jatuh ke riba, Aina menganggap undangan MPO untuk mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas sebagai peluang keemasan.

“Saya anggap diri saya masih baharu, tapi peluang yang datang tak harus saya lepaskan kerana ia merupakan sesuatu yang sangat diidamkan oleh ramai penyanyi. Saya tak percaya tapi pada masa yang sama, saya sangat bersyukur.

“Jadi, saya meletakkan keutamaan kepada persembahan vokal. Suara menjadi instrument utama untuk menjayakan konsert ini. Kemudian, kerjasama dengan 60 orang pemuzik harus saya titik beratkan.

“Di tempat ketiga barulah saya fikirkan kostum. Saya tetap mahu menjadi Aina Abdul dengan penampilan yang memukau serta bersesuaian. Apapun, biarlah ia seimbang dengan barisan pemuzik di malam konsert nanti,” katanya.

Mahu memberikan pengalaman istimewa untuk mereka yang bakal menonton dirinya menyanyi di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose selaku konduktur, Aina memerah buah fikiran agar konsert yang diadakan mengukir senyuman di bibir peminat yang hadir.

“Penta situ sangat berprestij, lebih-lebih lagi diiringi oleh MPO dan Ahmad Muriz selaku pengarah muzik. Saya memikirkan cara untuk tampil berbeza agar dapat memberikan kepuasan kepada peminat.

“Bila saya dengar susunan muzik, saya sendiri tergamam dan memikirkan apa yang bakal saya sajikan kepada peminat. Apa yang pasti, saya nak semua yang datang pulang dengan kenangan manis,” katanya.

Tak sabar

Tiket persembahan dengan harga RM255 hingga RM650 boleh dibeli menerusi tempahan di laman sesawang DFP www.dfp.com.my, e-mel ke [email protected] atau telefon melalui talian 03-23317007.

Written by: Salma