‘Bukan kerana cerewet, saya memang sangat berhati- hati’, itu luahan penyanyi popular, Aina Abdul ketika disoal mengenai jangka masa yang diambil untuk menghasilkan karya masterpiece.
Kata Aina, dia bukanlah seorang yang cerewet, namun untuk menghasilkan karya terbaik dia perlu berhati-hati memandangkan pasukannya juga kecil.
Malah, untuk mencari ilham menghasilkan karya masterpiece juga mengambil sedikit masa.
“Sebab tu lah ambil masa lama sebab dah jadi makin cerewet. Saya memang sangat hati-hati sebab sebenarnya, soal hati-hati tu bukan kerana saya cerewet atau apa cuma, saya dan team saya kecil. Jadi yang nak menggerakkan album ini bukan saya seorang sahaja tapi mereka juga.
“Jadi, ambil masa lama tu kadang-kadang ilham ni datang daripada satu kepala kita nak jumpa dengan writer lain, producer lain jadi benda ni makan masa. Jadi saya nak gunakan kesempatan ni untuk berterima kasih kepada semua yang telah bekerjasama dengan saya untuk album Imaji ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Aina juga mendedahkan dia memilih kota Jakarta, Indonesia sebagai lokasi untuk mencari ilham.
Menurutnya, Jakarta adalah destinasi istimewa yang mampu memberikannya ‘vibes’ untuk menulis.
“Saya akan sering ke sana sebab saya jumpa satu ilham yang best di Jakarta. Saya rasa itu adalah bandar yang membantu saya mendapat ilham.
“Dia macam karya masih di Malaysia tapi kita perlukan ilham tu kita kena pergi travel dan di sana saya ada family yang sentiasa bagi saya good vibes untuk menulis. Terima kasih kepada Melly Goeslaw kerana beri saya naskhah yang best ini,” jelasnya.
Terdahulu, Aina meluahkan rasa syukur dan teruja apabila menjadi artis yang meraih pencalonan terbanyak iaitu 9 pencalonan dalam lapan kategori di Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang bakal diadakan pada 13 September depan.
Kata Aina, meskipun ini merupakan kali pertama dia menyertai AIM, dia bagaimanapun teruja dan berasa terharu apabila penyertaan yang dihantarnya menerusi album Imaji dan Imaji Deluxe Editon menerima pencalonan terbanyak.
