Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Aina Abdul Dedah Terima Mesej Noh Salleh Suntik Semangat

today15 March 2025

Background

Penyanyi dan komposer berbakat, Aina Abdul, menegaskan bahawa kejayaan seorang anak seni tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah tontonan atau kedudukan dalam carta.

Menerusi temu bual bersama Melodi TV3, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, menjelaskan baginya perkara lebih penting adalah bagaimana sesebuah lagu dapat memberi kesan kepada pendengar.

“Pada saya, daya pengikut seorang anak seni itu tidak bergantung kepada berapa banyak streams yang diperoleh. Secara peribadi, saya lebih melihat kepada sejauh mana sebuah lagu boleh memberi impak dalam hidup seseorang,” katanya.

Aina juga percaya bahawa lagu-lagunya bukan sekadar hiburan tetapi mampu menjadi sumber motivasi bagi mereka yang memerlukan.

“Ada lagu saya yang membantu pendengar keluar daripada depresi dan memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan tersayang.

”Itu adalah tujuan saya menulis lagu. Saya tidak menulis untuk meraih tontonan, tetapi untuk mereka yang menghormati seni dan menghargai lagu itu,” jelasnya lagi.

Sebagai seorang penyanyi, Aina tidak menafikan bahawa kedudukan dalam carta sering menjadi penanda aras kejayaan sesebuah lagu, namun, dia memilih untuk tidak terbeban dengan perkara itu.

Malah, Aina turut mendedahkan mesej yang diterima daripada komposer dan penyanyi terkenal, Noh Salleh yang memberikannya semangat.

“Buang masa kalau saya perlu bersedih hanya kerana lagu tidak tersenarai dalam carta. Saya pernah menerima mesej inspirasi daripada Noh Salleh, dia kata, ‘Apa sahaja yang Aina sedang buat sekarang ini, teruskan. You won’t see the result now, but you will see it later’,” katanya lagi.

Mesej itu menjadi motivasi buatnya untuk terus berkarya tanpa memikirkan soal populariti atau angka.

“Saya percaya lagu-lagu saya lambat panas. It speaks later in the later hours. Jadi, kalau mungkin tidak tersenarai sekarang, mungkin suatu hari nanti. Tak mengapa,” ujarnya.

Sementara itu, pelantun lagu popular Jangan Mati Rasa Itu ini juga tidak lupa menghargai peminat setianya yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan seninya.

“Saya berterima kasih kepada peminat saya. Saya beritahu mereka bahawa mereka adalah the real warrior dalam hidup saya. Terima kasih kepada yang mempertahankan saya di platform X, yang menyokong saya hingga ke hari ini, yang sentiasa membantu saya mengatasi segala masalah,” katanya.

Menurut Aina, selagi peminat menghargai muziknya, dia akan terus berkarya demi mereka.

“Saya lakukan ini untuk mereka. Mereka adalah tulang belakang saya. Saya akan terus menulis lagu demi mereka,” tambahnya lagi.

Sumber: Melodi TV3

Written by: Salma


Previous post