Pelakon Ako Mustapha mengakui terlalu mengikut nasihat orang sekeliling tentang amalan bagi memulihkan penyakit diabetes sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital akibat tiada kandungan insulin dalam badan.
Memetik laporan mStar, dia tidak pernah mendapatkan informasi daripada pakar perubatan dan mudah percaya dengan amalan dikongsi orang ramai.
“Saya tidak pernah ada pengetahuan yang betul sejak menghidap penyakit itu apatah lagi saya pula jenis suka dengar cakap orang lain dan cuba pelbagai amalan tradisional sehingga mengabaikan pengambilan ubat-ubatan dibekalkan hospital.
“Saya ini macam kambing yang tak berfikir, ikut sahaja apa orang kata tentang tip dan amalan boleh dilakukan dan disebabkan itu ia menjejaskan kesihatan saya kerana apa dilakukan itu bukan cara terbaik.
“Apabila terlalu mendengar cakap orang, ada masanya saya juga terlupa ambil ubat dibekalkan pihak hospital,” katanya.
Namun, Ako tidak menyesal atas kesilapan diri yang terlalu mengikut nasihat orang lain tanpa nasihat pakar kerana menurutnya niat mereka untuk membantu.
Pada masa sama, individu yang mempunyai masalah kesihatan perlu melengkapkan diri dengan ilmu tentang sesuatu penyakit dan mendapatkan nasihat pakar perubatan.
“Mereka yang memberi nasihat itu kerana ingin membantu. Mungkin pengalaman mereka berbeza. Saya tidak menyesal ikut nasihat tersebut kerana sekarang ini ia telah membuka mata saya tentang ilmu sebenar dan apa yang patut dilakukan.
“Kita kenalah dapatkan ilmu yang betul tentang penyakit diri sendiri daripada pakar kerana mereka telah dilatih bertahun-tahun tentang masalah tersebut,” ujarnya.
Sumber: mStar