Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, akan mencatat sejarah baharu dalam kariernya dengan mengadakan konsert solo pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 26 April akan datang.
Konsert yang dinamakan ‘Amy Search Magic Konsert Solo Pertama’ ini dijangka menjadi titik penting dalam perjalanan seni Amy, yang telah lebih empat dekad berkarya dalam industri muzik.
Setelah 44 tahun mencipta fenomena bersama kumpulan Search, Amy kini bersedia untuk menampilkan sisi berbeza dalam konsert solo ini. Usaha ini dilihat sebagai langkah untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam dan intim kepada para peminatnya.
“Saya menerima pelawaan pihak penganjur sekitar tahun lepas. Tidak dinafikan memang ramai yang menawarkan saya menjayakan konsert solo tapi saya selalu beri alasan belum bersedia.
“Tapi disebabkan tawaran ini datang daripada pengarah konsert, Jennifer Thompson saya terus terima kerana saya mahukan barisan tenaga kreatif yang cukup berpengalaman dan bukan tangkap muat.
“Setiap lagu yang akan saya nyanyikan nanti adalah cerminan daripada warna kehidupan saya . Setiap nota dan lirik membawa kisah yang berbeza, melambangkan suka duka yang saya lalui dalam industri ini.
“Saya berharap konsert ini akan memberi ruang kepada peminat untuk merasai segala perasaan yang saya alami sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Amy berkongsi perkara ini dalam sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang diadakan pada Isnin.

Dalam kesempatan itu, Amy turut menafikan dakwaan bahawa beliau bersikap pilih kasih atau jual mahal apabila menolak beberapa tawaran daripada penganjur lain untuk mengadakan konsert solo.
“Saya bukan jual mahal, tapi siapa produser konsert adalah penting untuk saya. Mereka perlu memahami latar belakang saya.
“Saya perlukan orang yang tepat dan waktu yang tepat sebelum setuju untuk menjayakan konsert.
“Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan sahaja muzik, tetapi juga jiwa saya.
“Lagu-lagu yang akan saya bawakan adalah bukan sekadar hits, tetapi juga pengalaman hidup yang membentuk siapa saya hari ini. Peminat akan dapat melihat sisi peribadi saya yang jarang mereka ketahui,” katanya.
Konsert ini dianjurkan secara eksklusif oleh TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 5 Februari 2025 di laman web www.wowtix.com.my.
Harga tiket bermula dari RM188 (Cat 6 – Tiada Lagi), RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita), RM388 (Cat 4 – Kerja Gila), RM538 (Cat 3 – Kamilah Cinta), RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan), dan RM788 (Cat 1 – Rock Royalty).
Artikel Berkaitan: “Penyanyi Baru Perlu Banyak Buat Kajian” – Isu ‘Killer Song’, Amy Search Nasihat Jangan Terlalu Ikut Orang Lain