Penyanyi rock terkenal, Datuk Amy Search tampil memberi respons berhubung isu hangat yang menjadi perdebatan dalam kalangan penyanyi berkaitan kepentingan ‘killer song’ dalam perjalanan seni mereka.
Ketika ditemui XTRA, Amy atau nama sebenarnya, Datuk Haji Suhaimi Haji Abdul Rahman, 67, menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu perkara yang subjektif.
“Ada kalanya kita boleh jangkakan lagu mana boleh hits, tapi ada masanya tak boleh jangka. Jadi sebenarnya ia terlalu subjektif.
“Kadang-kala lagu pertama memang boom tapi lagu seterusnya tak tahu lagi macam mana. Mungkin mereka dalam keadaan bahaya.
“Penyanyi baru perlukan ‘killer song’ kerana sesebuah lagu popular itu yang akan memperkenalkan mereka dalam arena seni,” katanya.
Amy berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengulas lebih lanjut, pelantun lagi popular Isabella ini menambah setiap penyanyi sebaliknya perlu bereksperimentasi dan meneroka genre yang sesuai dengan mereka.
“Mereka kena tahu material yang sesuai dengan karya mereka untuk hasilkan lagu. Perlu banyak mendengar dan buat kajian sehingga mereka jumpa genre utama.
“Perkara itu akan jadi masalah lebih-lebih lagi apabila penyanyi itu nak buat album atau mengharapkan lagu baru akan lebih hit. Kalau lagu kedua misal kata tak hit, perjalanan seni dia akan menurun.
“Jadi dia kena tahu cita rasa sendiri, cukup material untuk bertahan dalam industri, ada lagu popular tapi genre macam mana yang akhirnya ‘keluarkan’ diri sendiri.
“Jangan terlalu ikut cakap orang, tetapi lebih kepada apa penyanyi itu sendiri rasakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amy bakal menjayakan konsert solo pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April depan.
Konsert ini dibawakan secara eksklusif oleh TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual bermula 5 Februari 2025 di www.wowtix.com.my.