Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar ada berkongsi bahawa anak perempuannya, Laana Haura, 6, mampu untuk melihat makhluk ghaib.
Kata Lufya, 39, pada awalnya dia tidak mempercayai perkara tersebut dan menganggap apa yang dilihat anaknya itu hanyalah khayalan semata-mata.
Menurutnya, anaknya itu pernah melihat manusia tanpa kepala dan memakai baju berlumuran darah, selain pernah menjerit ketakutan.
Bagaimanapun, dia mula berasa risau selepas perkara sama berlaku berulang kali.
“Baru-baru ini anak saya mengadu katanya nampak orang tiada kepala. Kejadian itu berlaku ketika dia berada di depan pintu rumah dan dia menjerit-jerit panggil saya. Saya terkejut dan tanya apa yang berlaku.
“Dia kemudian tutup pintu dan cakap nampak orang tiada kepala dengan baju berdarah. Saya tanya dia balik, adakah yang dilihatnya itu imaginasi atau sebaliknya.
“Namun dia kata benda tu betul, benar… kemudian saya minta dia ambil wuduk dan solat.
“Ini bukan kali pertama, sudah beberapa kali sebelum dia nampak,” katanya.
Perkara itu dikongsi Lufya menerusi sesi live di TikTok miliknya.
Lebih menakutkan, kerusi buaian yang terdapat di balkoni rumahnya juga menjadi antara ‘tempat’ kegemaran penampakan makhluk halus tersebut.
“Setiap kali bila saya hendak keluar ke balkoni, dia menjerit dan bagi tahu jangan keluar. Dia akan menjerit dan dia kata ada dua benda. Katanya rambut panjang.
“Sebelum ini saya ada ambil video sebab dia selalu kata begitu. Saya pun jadi geram sebab asyik kena kacau jadi saya ambil video kemudian tunjukkan kepada beberapa orang yang boleh nampak benda-benda ghaib ini.
“Dia kata memang ada dua ekor. Perkara itu buat saya lagi risau,” kongsinya.
Justeru, risau mengenai keadaan yang menimpa anaknya itu, Lufya turut meminta pendapat warganet mengenai langkah yang perlu diambil bagi mengatasi gangguan mistik yang dialami Lanaa Haura.
Sumber: Kosmo