Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee, terkejut apabila gurauannya mengenai perkhidmatan kejut sahur sepanjang bulan Ramadan mendapat perhatian serius daripada peminat.
Menurut Andi, atau nama sebenarnya Azrul Andi Mapangile, pada mulanya dia hanya berseloroh di Threads, tetapi tidak menyangka ramai yang berminat sehingga ada yang sanggup membayar untuk ‘servis’ tersebut.
“Sebenarnya saya cuma gurau sahaja dan gurauan itu bermula dalam Threads, tiba-tiba pula dapat sambutan ramai. Kemudian, saya cuba pula bereksperimen di Tiktok dan Instagram.
“Terus-terang, tak sangka pula kerana ‘servis’ tersebut, saya terima banyak DM dan mesej dari peminat yang meminta nombor telefon dan nombor akaun bank saya.
“Mereka (peminat) macam nak sangat saya buat pakej itu sampai sanggup nak bayar. Bagi saya perkara ini menarik dan melucukan juga,” katanya.
Ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Universal Music di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, Andi turut berkongsi pengalaman mengejutkan yang berlaku sewaktu berada di Singapura.
Menurutnya, seorang peminat pernah menyerahkan wang SGD50 kepadanya ketika bersalaman semasa sebuah acara, sebagai bayaran untuknya terus menghasilkan video kejut sahur.
“Kebiasaannya, saya akan bersalaman dan bertegur sapa dengan peminat. Tetapi kali ini, tanpa disangka, ada yang menyelitkan wang ke dalam tangan saya sambil berkata ia adalah upah untuk saya terus buat video kejut sahur. Saya agak terkejut tetapi kalau sekadar video ucapan, tidak menjadi masalah,” katanya.
Selain itu, penyanyi berusia 34 tahun ini turut menerima pelbagai jenis mesej daripada peminat, termasuk video dengan gaya manja, terutamanya daripada golongan wanita, yang meminta dia mengejutkan mereka untuk bersahur.
“Ada juga saya terima video ala-ala manja daripada peminat yang DM dalam Instagram. Video minta kejut sahur, tetapi kebanyakannya daripada budak perempuan.
“Saya tak rasa merimaskan pun sebab saya sendiri yang cari fasal bukan? Saya sendiri yang mengundang, jadi saya layankan sahajalah kerenah peminat.
“Video-video yang saya buat, semuanya tak dirancang tetapi saya dah berhenti buat video-video begitu sebab tak mahu mengurangkan puasa orang.,” tambahnya.
Sebelum ini, Andi mencuri perhatian apabila bergurau di media sosial dengan menawarkan ‘servis’ kejut sahur bermula dengan harga RM2.
Namun, dia menegaskan bahawa perkara itu hanyalah sekadar hiburan bersama peminat.