Pelakon jelita, Anna Jobling enggan dirinya dibandingkan dengan teraju utama filem box office Pontianak Harum Sundal Malam, Maya Karin.
Ia selepas penerimaan positif peminat terhadap lakonannya dalam filem seram Indonesia berjudul, Lembayung.
Katanya, kemampuan Maya Karin dalam filem tersebut wajar dijadikan inspirasi untuknya memberikan yang terbaik dalam membawakan watak sedemikian.
“Saya tak layak menjadi pengganti Maya Karin. Dia pelakon yang hebat. Saya ingin membina nama sendiri, tapi dalam masa sama sentiasa menjadikan lakonan hebatnya sebagai inspirasi.
“Saya peminat cerita seram dan memang sudah lama mengimpikan peluang untuk berlakon genre ni.
“Jadi, sebagai persiapan saya mulakan dengan mengikuti kelas lakonan bersama seorang guru yang terkenal di Indonesia,” katanya.
Meluahkan rasa syukur terhadap penerimaan peminat dan penonton di Indonesia, Anna mengaku bukan senang untuk menempa di negara itu apatah lagi bekerjasama dengan produksi di sana.
“Selain itu, ada beberapa tawaran lain yang saya terima. Bukan senang nak menempa nama, tapi apabila dapat tawaran saya cuba buat yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, perkongsian video adengan lakonannya sebagai Tantri dalam filem Lembayung menuai perhatian warganet yang rata-ratanya memuji lakonan mantap teraju utama drama rantaian popular, Melur Untuk Firdaus Ini.
Sumber: Harian Metro