Penyanyi Aufahanie reda dengan pemergian arwah abangnya, Nidza Afham yang ditemui di sekitar jambatan Klang, malam tadi.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Aufahanie, 21, kelihatan berkongsi foto bersama abangnya beserta muzik latar nyanyian arwah berjudul Rindu Setengah Mati.
“I love you, Am. Bahagialah di syurga,” tulisnya pada kapsyen berkenaan.
Reda dengan pemergian abang tersayang, Aufahanie sempat berkongsi bahawa Nidza Afham atau lebih mesra dengan panggilan Am merupakan seorang anak dan abang yang baik.
“Memang tidak nampak sebarang tanda yang dia akan pergi buat selamanya.
“Selepas ibu bapa berpisah, abang tinggal dengan ibu dan dialah yang menjaga ibu sehingga akhir hayat. Dalam tujuh beradik dia lah yang paling baik,” katanya.
Terdahulu, Aufahanie berkongsi berita cemas mengenai abangnya, Nidza Afdham yang gagal dikesan sejak petang Selasa selepas keluar jogging.
Sehinggalah pada malam tadi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor menemui satu mayat lelaki dewasa di sekitar Jambatan Sungai Klang.
Menerusi laporan berita Buletin TV3, Ahmad Muks Mukhtar, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, berkata, mayat lelaki berkenaan memakai pakaian berwarna gelap bernombor 56.
ARTIKEL BERKAITAN:Bomba Temui Mayat Lelaki Memakai Baju Nombor 56 Di Sekitar Jambatan Sungai Klang