Susulan penyakit Skoliosis yang dialami, penyanyi popular, Zamani Ibrahim akhirnya bakal menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang bengkok.
Perkara itu dikongsi Zamani seusai majlis bacaan yasin dan doa selamat yang diadakan secara virtual pada Khamis.
Memetik laporan Berita Harian, dia kini sudah mempersiapkan diri untuk menjalani pembedahan tersebut termasuklah, persediaan dari segi mental memandangkan ini adalah pembedahan besar yang pernah dilaluinya.
“Perasaan takut tetap ada, tetapi bukanlah disebabkan bimbang perkara buruk berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada ketentuan Allah.
“Saya agak takut kerana ini adalah pembedahan besar pertama yang dilalui. Saya dimaklumkan pembedahan akan mengambil masa selama dua setengah jam.
“Saya akan ditidurkan ketika pembedahan. Dari segi persiapan fizikal, saya mengikut saranan doktor mengamalkan diet dan mengambil banyak vitamin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Konsert Terakhir Sebelum Pembedahan, Zamani Tak Raih Simpati
Sementara itu, pelantun lagu Pasti Ada Cahaya itu juga mengakui, kali terakhir dia melakukan pembedahan adalah sekitar 20 tahun lalu.
“Sebelum ini, saya hanya pernah melakukan pembedahan kecil iaitu membuang batu karang,” jelasnya.
Berkongsi mengenai kondisinya, Zamani berkata, selepas proses pembedahan berjalan lancar, doktor memaklumkan dia boleh pulih semula dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada ketahanan tubuh.
“Mengikut penerangan doktor, saya boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.
“Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.
“Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan bergantung pada kekuatan antibodi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zamani berharap dan memohon agar peminat dapat mendoakan proses pembedahan yang bakal berlangsung pada 7 November ini berjalan lancar dan dipermudahkan serta turut mendoakan kesejahteraannya.
Sumber: BH