Hubungan kasih yang terjalin antara pelakon Fify Azmi dan Nafiez Zaidi memasuki fasa seterusnya apabila majlis merisik diadakan kelmarin.
Tak mahu membuang masa bercinta, Nafiez membawa rombongan keluarganya dari Perlis bertemu dengan keluarga Fify di Subang Jaya dan merancang untuk menjadikan gadis itu suri hidupnya pada hujung tahun ini.
“Jika boleh saya dan Fify enggan bertunang, mahu terus bernikah. Jadi, majlis merisik ini sebagai permulaan melangkah ke fasa seterusnya.
“Kami sibuk dengan tuntutan kerjaya seni, jadi saya bawa keluarga dari Perlis berkenalan dengan keluarga Fify, semalam.
“Apabila keluarga sudah bertemu, ia menandakan saya memang tak main-main dalam perhubungan ini. Saya serius mahu memperisterikan Fify,” kata Nafiez memetik laporan BH Online.
Selaku simbolik majlis merisik, rombongan dari Perlis menyerahkan gelang tangan dan rantai kepada pihak perempuan.
“Biarlah sudah membina ikatan, tetapi saya dan Fify tidak mahu soal peribadi terlalu mendapat pendedahan.
“Cuma, kami mengharap doa agar segala perancangan berjalan lancar. Apa sahaja kemungkinan boleh terjadi, namun, saya dan Fify tawakal serta cuba sehabis baik menjaga ikatan hubungan ini,” katanya.
Sumber: BH Online