Penyanyi Indonesia yang sedang mencipta nama di Malaysia, Allan Andersn berdebar apabila diberi kesempatan membawakan lagu hasil ciptaan komposer terkenal Malaysia, Farouk Roman.
Allan menyifatkan pengalaman tersebut menjadi sesuatu yang cukup berbeza kerana selama ini lebih terbiasa menulis karya sendiri.
“Saya biasanya mencipta lagu sendiri termasuk untuk penyanyi lain. Kali ini, perasaan agak gemuruh kerana lagu ini dihasilkan oleh komposer Malaysia,” katanya.
Lagu berjudul Senafas itu dipilih sebagai lagu tema untuk sebuah drama tempatan yang bakal ditayangkan dalam masa terdekat dan dijadualkan dilancarkan sekitar Oktober ini.

“Apabila mendengar judulnya, saya sempat rasa takut. Harapnya saya tidak perlu menyanyi dalam satu nafas. Lagu berdurasi empat minit, kalau betul kena tarik dalam satu nafas memang habislah,” katanya sambil ketawa.
Walaupun gementar, Allan melihat peluang ini sebagai satu langkah besar dalam perjalanan seninya.
Sudah mendengar demo lagu tersebut minggu lalu, Allan teruja kerana lagu itu menguji kebolehan vokal kerana karya komposer Malaysia terkenal dengan lagu-lagu balada bernada tinggi.
“Ini kali pertama saya menerima karya dari penulis lagu Malaysia. Memang rasa gemuruh sebab lagu balada di sini tinggi-tinggi, macam menara berkembar KLCC. Kadang-kadang bila ditarik, boleh jadi lebih tinggi lagi.
“Saya tidak sabar untuk membawakannya. Harap lagu ini sesuai dengan jiwa saya dan saya mampu menyampaikan emosinya dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Allan baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada.
Lagu itu diinspirasikan daripada kisah seorang rakan rapat yang sering merasakan dirinya tidak dihargai pasangan.
“Daripada kisah itu, saya membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang tetapi tidak pernah benar-benar dianggap. Perasaan tersebut yang saya terjemahkan ke dalam lagu ini. Walaupun bukan pengalaman peribadi secara langsung, emosi yang hadir ketika menulis lagu ini terasa cukup dekat di hati saya,” jelasnya.