Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Bawakan Karya Ciptaan Komposer Terkenal Tempatan, Allan Andersn Cabar Diri Keluar Zon Selesa Dengan Single ‘Senafas’

today5 December 2025

Background

Mula bertapak dalam industri muzik Malaysia, penyanyi Indonesia, Allan Andersn kembali dengan karya terbaharu berjudul Senafas.

Berbeza daripada lagu-lagu sebelum ini yang banyak dihasilkan sendiri, Allan kini mencabar diri untuk menyanyikan ciptaan komposer terkenal, Farouk Roman, dengan lirik hasil nukilan Senna.

Single ini mula menemui peminat bermula 5 Disember 2025 dan menampilkan sentuhan muzik yang lebih emosi serta segar daripada gaya Allan sebelum ini.

Kolaborasi ini menjadi jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia, menyatukan kepakaran komposer tempatan dengan vokal Allan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau. Lagu ini menonjolkan kepintaran muzikal Farouk serta kemampuan Allan untuk menjiwai melodi penuh emosi, meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

“Saya benar-benar teruja dapat bekerjasama dalam projek ini. Sebagai seorang singer-songwriter, ini kali pertama saya menyanyikan lagu ciptaan komposer serta penulis lirik Malaysia dan pengalaman ini sangat bermakna. Lebih istimewa lagi, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karya Farouk Roman, seorang komposer yang dihormati ramai dan digelar Raja OST di Malaysia. Saya keluar daripada zon selesa dan menganggap jalinan kerjasama ini sebagai lembaran baharu dalam kamus muzik saya,” kata Allan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Allan Andersn (@allanandersnn)

Selain itu, Allan turut menghargai pengalaman sepanjang proses rakaman di bawah penerbitan SAAS Music Entertainment.

“Sepanjang rakaman, saya banyak belajar tentang cara Farouk membina melodi yang bukan sahaja indah, tetapi juga hidup dalam jiwa pendengar. Saya ambil pengalaman ini sebagai satu pelajaran baharu. Proses ini saya anggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana sebagai seorang pencipta lagu dan penyanyi, saya boleh beradaptasi dan mempelajari banyak perkara baharu,” katanya.

Senafas mengisahkan cinta yang penuh liku, di mana seseorang rela menanggung duka, dihancurkan berkali-kali, namun tetap mencintai sepenuh hati.

“Bagi saya, Senafas bukan sekadar lagu, tetapi sebuah kisah yang boleh menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Ia menceritakan tentang cinta, pengorbanan dan ketabahan, perkara yang universal dan dekat dengan semua orang. Untuk naskhah ini, SAAS Music Entertainment memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat dalam kerja kreatif. Walaupun kali ini saya tidak terlibat dalam penciptaan lagu, saya mengarahkan muzik video Senafas yang dibintangi oleh saya sendiri bersama Rendy Wicaksana,” jelas Allan.

Yang membuatkan Senafas lebih istimewa ialah lagu ini dipilih sebagai runut bunyi rasmi drama terbaru Astro Prima, Setiaku Berdiri, terbitan Radius One Sdn Bhd dan diarahkan Rashid Sibir. Drama bersiri ini menampilkan lakonan Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh dan ramai lagi.

“Saya teruja kerana peluang kerjasama ini membuka ruang untuk karya nyanyian saya ditampilkan dalam naskhah istimewa berjudul Setiaku Berdiri. Sudah pasti, saya gementar menanti reaksi peminat, tetapi saya yakin lagu ini bakal meninggalkan kesan dalam hati mereka yang mendengar,” kata Allan.

Lagu ini bukan sekadar pendamping visual, tetapi juga memperkukuh naratif emosi drama, menyuntik perasaan dan menambah pengalaman dramatik kepada penonton.

Senafas boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik bermula 5 Disember 2025, manakala muzik video boleh ditonton di saluran YouTube Allan Andersn.

Written by: Salma


Previous post