
PETALING JAYA: “Bayar gaji”. Itu komen ringkas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Sarawak United FC susulan kelab itu berhadapan tunggakan gaji pemainnya sejak empat bulan lalu.
Komen daripada Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu dibuat menerusi Instagram “officialsarawakutdfc” sebagai peringatan kepada kelab itu supaya segera melunaskan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Liga Super ketika ini.
Bagaimanapun, teguran TMJ kemudian dibalas officialsarawakutdfc : “Memang tengah diusahakan Tuanku.”
Isu tunggakan gaji sejak empat bulan lalu menyebabkan ada pemain Sarawak United FC dihalau dari tempat tinggal.
PFAM dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya mengakui insiden itu dan telah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.