Imbas untuk muat turun aplikasi

Inspirasi

Bayi 8 Bulan Meninggal Dunia Kerana Tertinggal 10 Jam Dalam Kenderaan

today6 October 2023

Background

Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan disahkan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, di sini, semalam.

Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya ke taska sebelum ke tempat kerja.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata terdahulu pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri di dalam kereta untuk dihantar ke taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu ciapan yang mengatakan seorang bayi maut selepas tertinggal di dalam kereta dari pagi hingga petang oleh ibunya.

Sumber: Berita Harian

Written by: Aqilah


Previous post

Sukan

Danish jadi rebutan termasuk JDT

Seremban: Muncul selaku penjaring terbanyak Piala Presiden 2023 dengan 13 gol, membuatkan beberapa pasukan Liga Super menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Danish Syamer Tajuddin.

today6 October 2023