Kes saman membabitkan pelakon, Puteri Sarah ke atas bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwie Arvienda Mazweena selesai selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.
Memetik laporan OhBulan!, Puteri Sarah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah itu secara baik.
Peguam Datuk Akberdin, mewakili Puteri Sarah menjelaskan perbicaraan kes tersebut tidak diteruskan selepas berlakunya perbincangan antara anak guamnya selaku plaintif bersama defendan di luar Mahkamah Sesyen Sivil, Kuala Lumpur hari ini.
Ketika prosiding berlangsung, defendan iaitu Wiwi memohon maaf secara terbuka kepada Puteri Sarah dan kesal atas tindakannya memuat naik hantaran berbaur tohmahan.
Permohonan maaf tersebut dilakukan di hadpaan Hakim Puan Yasmin Abdul Razak.
“Saya Wiwie Arvienda Mazweena membuat permohonan maaf terhadap Puteri Sarah atas kesalahan posting yang saya lakukan pada 24 Ogos 2023,” katanya.
Dalam pada itu, Akberdin yang membaca draf penyataan berkata pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk tidak memuat naik, menyiarkan maklumat mengenai satu sama lain di media sosial.
Malah, Wiwi juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat secara terbuka di Instagram selama tujuh hari bermula hari ini.
Kredit foto/Sumber: OhBulan!