
PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat gambaran sebenar pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 hanya akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2025, bukan ura-ura dan ramalan segelintir pihak ketika ini.
Aimi Zulhazmi dari Universiti Kuala Lumpur berkata, pembentangan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjawab segala persoalan berhubung harga runcit bahan bakar itu yang berbangkit susulan penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu.
Secara peribadi Aimi berpendapat, langkah itu tidak akan dibuat tahun ini dengan kerajaan melakukannya secara berhati-hati, melihat kesan kepada pengguna susulan pelarasan harga diesel kepada RM3.35 seliter.
Katanya, banyak faktor perlu diambil kira antaranya kadar inflasi dan kedudukan ringgit yang dijangka melemah sehingga pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) selesai November depan.
