Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah mengakui berdebar ketika pertama kali melangkah sebagai model ‘runway’ bagi jenama kosmetik terkemuka, L’Oréal Paris Malaysia di acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025, pada petang Khamis.
Berkongsi perasaannya selepas memperagakan busana anggun berona merah yang melambangkan keberanian dan kebangkitan wanita, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabeela Awang Astillah, 31, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat bermakna.
“Ini kali pertama saya melibatkan diri dalam dunia peragaan. Memang ada rasa gementar dan takut sebab ini bukan bidang saya. Tapi Alhamdulillah, ia satu pengalaman yang sangat berharga.
“Harap ini bukan yang terakhir, kalau ada peluang lagi, saya terbuka untuk mencuba, Insya-Allah,” katanya.
Menurut Bella, dia menerima tawaran untuk menyertai pertunjukan fesyen tersebut kerana tertarik dengan konsep yang dibawakan oleh jenama berkenaan, yang menekankan tentang pemerkasaan wanita.
“Sebenarnya, saya sangat tertarik dengan mesej women empowerment yang dibawa. Bila melibatkan wanita, saya rasa kenapa tidak? Semua yang terlibat pun sangat hebat, jadi saya anggap ini satu peluang baik untuk saya,” jelas pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu.
Selain Bella, dua figura terkenal lain iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zahnita Wilson turut memperagakan koleksi eksklusif L’Oréal Paris Malaysia yang mengangkat tema ‘Women of Worth’, dalam usaha meraikan keanggunan dan kekuatan wanita masa kini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Bella Astillah Curi Tumpuan Di KLFW 2025, Anggun Dalam Busana Merah L’Oréal Paris Malaysia – “Macam Ni La Baru Wanita Feminin!”
Terdahulu, nama Bella menjadi tumpuan apabila rakaman dirinya menyampaikan kategori Selebriti Wanita Feminin dalam Anugerah Melodi Terhangat 2025 tular di media sosial. Kategori tersebut dimenangi oleh aktres Sophia Albarakbah.
Momen itu menjadi perhatian ramai apabila Bella kelihatan serba tidak kena di atas pentas, malah seakan sukar menyebut nama Sophia sebagai pemenang, dipercayai kerana kisah silam yang menyakitkan antara mereka.
Perkara itu turut disahkan oleh pembantu peribadi Bella, Niel Rafeq yang mendedahkan selebriti itu masih trauma dan menggigil sebaik turun dari pentas yang hanya diketahui oleh orang-orang terdekatnya.