Selepas mengumumkan kehamilan kedua, pelakon dan pengacara, Ain Edruce memaklumkan berat badannya semakin bertambah secara mendadak meskipun kandungannya baru berusia lima bulan.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Ain atau nama penuhnya, Nurulain Edruce, 33, berkata, berat badannya meningkat sebanyak 10 kilogram (kg) selepas melakukan pemeriksaan kesihatan bulanan.
“Hari ini (semalam) saya pergi berjumpa dengan doktor, saya periksa berat badan saya. Berat saya daripada 55 kg, sekarang 65 kg. Baru lima bulan lebih hamil,” katanya.
Meskipun sudah mengawal pemakanannya sepanjang tempoh kehamilan, namun pengacara Melodi itu bimbang perubahan drastik itu boleh menyebabkan dirinya sukar mendapatkan kembali berat badan yang ideal selepas bersalin.
“Saya sudah cuba sedaya upaya untuk kurangkan makan tapi berat itu semakin naik. Saya risaulah, lepas bersalin nanti susah mahu turunkan berat badan sebanyak itu,” jelasnya.
Terdahulu, Ain berkongsi berita gembira menerusi hantaran di Instagram apabila dia memaklumkan bakal menimang cahaya mata kedua.
Ain yang sebelum ini pernah mengalami keguguran pada April lalu bagaimanapun belum mendedahkan jantina anak keduanya.
Sekadar info, Ain mendirikan rumah tangga bersama Amirul Hafiz pada 13 Disember 2019 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya yang kini berusia tiga tahun.