Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Berbelanja RM3,500 Seorang, Ayu Damit Cerita Pengalaman Tunai Umrah Secara DIY

today8 November 2025

Background

Bagi penyanyi Ayu Damit, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah sebagai ‘tetamu Allah’ bukan bergantung pada soal kemampuan semata-mata, tetapi juga usaha dan perancangan yang rapi.

Tidak seperti pakej umrah melalui agensi pelancongan, Ayu menjelaskan bahawa konsep Umrah Do It Yourself (DIY) memberi kebebasan kepada jemaah untuk mengurus sendiri segala urusan — daripada menempah tiket penerbangan dan penginapan sehinggalah mendapatkan visa serta pengangkutan di Arab Saudi.

Atas sebab itu, penyanyi lagu Hanya Di Mercu ini memilih untuk menunaikan Umrah secara DIY bersama rakan baiknya, Datin Aisyah Ghazali, seorang usahawan pelancongan yang juga Pengurus Perhubungan Awam di Izz Ikhwan Travel Empire.

Menurut Ayu, minat untuk mencuba pendekatan ini timbul selepas Aisyah memperkenalkannya kepada konsep berkenaan.

“Saya tahu tentang Umrah DIY selepas Aisyah ajak saya sertai kumpulan bawah Izz Ikhwan. Kosnya jauh lebih berpatutan, hanya sekitar RM3,500 seorang, berbanding pakej agensi yang biasanya bermula dari RM6,000.

“Bagi saya, Umrah DIY ini peluang terbaik untuk mereka yang berhasrat ke Makkah tetapi terhalang oleh faktor kewangan,” katanya.

Ayu menambah, konsep ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, malah memberikan lebih fleksibiliti.

“Apabila kita rancang sendiri jadual, masa lebih fleksibel untuk beribadah. Saya boleh pilih hotel dan restoran ikut bajet sendiri tanpa terikat dengan jadual kumpulan,” ujarnya yang dijadualkan berangkat ke Makkah pada November ini.

Ayu ditemui pada Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire yang berlangsung di Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aisyah atau lebih dikenali sebagai Asha menjelaskan bahawa Umrah DIY memerlukan persediaan rapi bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

“Mereka yang ingin menunaikan Umrah DIY perlu memastikan semua dokumen sah, termasuk pasport dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan serta lengkap dengan vaksin meningitis dan COVID-19 (jika masih diperlukan). Visa umrah atau pelancong juga boleh diperoleh secara digital melalui platform rasmi,” katanya.

Asha turut menekankan kepentingan membuat perancangan terperinci sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Pastikan membawa pakaian sesuai dengan cuaca, barangan penting seperti sandal, pelindung matahari dan ubat-ubatan. Walaupun tanpa ejen, kita tetap boleh buat semua ini sendiri asalkan bersedia,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak Izz Ikhwan Travel turut menawarkan bimbingan dan panduan kepada kumpulan yang memilih untuk menunaikan Umrah secara DIY agar perjalanan ibadah mereka berjalan lancar dan tersusun.

Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire diadakan bagi menghargai 50 ejen yang menjadi tulang belakang syarikat sempena ulang tahun ke-11 penubuhannya. Acara itu turut dihadiri oleh Penaung Izz Ikhwan Travel Empire, Datuk Ikhwan Lutfi Zakaria, bersama Datuk Zaifrina Zainuddin dan Datin Normala Samsudin, Pengarah Kumpulan Mines Beach Resort.

Selain meraikan kejayaan ejen, majlis berkenaan turut diselitkan dengan simbolik solidariti terhadap rakyat Palestin sebagai tanda sokongan dan keprihatinan umat Islam terhadap perjuangan saudara seagama di sana.

Written by: Aqilah


Previous post