Penularan berita mengenai istiadat perkahwinan diraja membabitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita yang tular di Instagram sejak 24 September lalu adalah palsu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak Istana Pahang menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, istana menafikan ada sebarang kaitan dengan hantaran atau maklumat palsu berkenaan perkahwinan diraja itu sekaligus berharap agar orang ramai di luar sana tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada portal rasmi milik istana Pahang.
“Istana Pahang mengesan hantaran berbentuk fitnah yang dimuat naik individu tersebut dan meminta orang ramai tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuatnaik selain daripada portal rasmi Istana Pahang atau media sosial Kesultanan Pahang.
“Maklumat berkenaan adalah palsu dan tiada kaitan dengan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang atau Istana Pahang,” kongsinya.
Dalam pada itu, istana Pahang memaklumkan bahawa tindakan tegas boleh diambil kepada individu terbabit atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran di media sosial yang berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang.
View this post on Instagram
Pada 12 Julai lalu, Tengku Hassanal memohon agar privasi peribadi dan keputusannya mengenai perkahwinan di masa hadapan kelak dapat dihormati oleh semua pihak.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram rasmi, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkata, sebagai seorang putera raja dan waris ganti negeri, beliau sangat menghargai keprihatinan dan minat yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap kehidupan peribadinya.
ARTIKEL BERKAITAN:“No Wedding, Tak Ada Kahwin… Jangan Kacau Saya” – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
ARTIKEL BERKAITAN:Tengku Hassanal Minta Hormati Keputusan & Privasi Perkahwinan
Sumber: Harian Metro, Instagram