
Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dijangka memulakan kaedah ‘pengeboman air’ hari ini dalam usaha meredakan kebakaran tanah gambut hampir 100 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang sejak Jumaat lalu.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, Mohd Ruzaidi Ramlee, berkata helikopter MI-17-IV bersama dua juruterbang dan 13 kru akan berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor pagi ini dan dijangka tiba kira-kira 10 pagi.
“Penggunaan helikopter hanya efisien untuk kebakaran permukaan tanah. Selain pemadaman api, helikopter juga digunakan untuk membuat ‘fire break’ serta penghantaran anggota dan peralatan ke tempat sukar diakses melalui jalan darat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Helikopter dilengkapi peralatan “Bambi Bucket” berkapasiti 1,590 liter untuk pemadaman kebakaran hutan…