
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini menahan seorang penjawat awam wanita kerana disyaki menggunakan jawatannya mendapat wang tuntutan berjumlah lebih RM200,000 selama tiga tahun.
Menurut sumber suspek yang berusia 30an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira 1 petang.
“Suspek disyaki menyalahgunakan jawatannya pada tahun 2020 hingga 2023 dalam mengadili kes tuntutan kewangan di mana wang tuntutan tersebut diterima sebagai suapan bagi dirinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk reman esok.