Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

“Bukan Bangkai Bernyawa!” – Puteri Sarah Enggan Berdepan Penderaan Emosi & Mental

today11 May 2022

Background

Pelakon Puteri Sarah mengakui bukan mudah untuk menanggung penderitaan apatah lagi jika ia melibatkan rumah tangganya bersama pengarah Syamsul Yusof.

Memetik laporan Berita Harian, penderitaan yang dialaminya itu menyebabkan beliau berdepan dengan penderaan emosi dan mental kerana tidak mampu untuk berkongsi dengan sesiapa demi menjaga aib keluarga dan maruah diri sendiri.

Namun, Puteri Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, bersyukur segalanya sudah terdedah sebelum beliau berangkat menunaikan Umrah baru-baru ini.

“Kemelut rumah tangga saya bagaikan tiada kesudahan dan tiada jawapan pasti. Apatah lagi ia melibatkan gangguan orang ketiga.

“Hanya pada Allah saya meluahkan kesengsaraan disebabkan tidak mampu untuk berkongsi dengan sesiapa demi menjaga maruah diri dan keluarga.

“Namun, saya juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Saya bukannya bangkai bernyawa yang telan gangguan pihak ketiga sehingga bertahun lamanya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia ingin memulakan hidup baru dan berdoa agar Allah memberikan petunjuk terhadap segala keputusan yang bakal diambilnya kelak.

“Saya tak mampu nak tanggung sengsara seumur hidup. Saya perlukan ketenangan dalam mencari jalan keluar daripada kemelut rumah tangga tak berpenghujung.

“Jika ditakdirkan jodoh bersama Syamsul masih panjang, saya terima. Namun, jika Allah sudah menetapkan, cukup-cukuplah empat tahun tanggung derita, saya reda dengan apa juga takdir yang tercipta.

“Segala-galanya bukan keputusan mudah, apatah lagi, sudah lapan tahun hidup bersama. Keluarga mentua pula terlalu baik, melayan saya seperti anak sendiri dan menyayangi Syaikhul dan Sumayyah tanpa berbelah-bahagi. Namun, ‘no turning back’ ketika pintu hati sudah tertutup rapat,” jelasnya.

Written by: Aqilah