Hot FM

“Bukan Mahu Menunjuk Bayar Zakat Perniagaan RM1 Juta” – Wawa Zainal & Aeril Zafrel

Pasangan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel memberi penjelasan mengenai niat mereka membuat hebahan mengenai pembayaran zakat perniagaan bernilai RM1 juta, baru-baru ini.

Bukan niat mahu menunjuk-nunjuk jumlah zakat yang diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), pasangan yang mengusahakan bisnes Wawa Cosmetics ini mahu mengajak peniaga Islam lain menjalankan tanggungjawab mereka.

“Niat kami bukan nak menunjuk jumlah yang kami bayar, tetapi lebih kepada mengajak peniaga-peniaga Islam seluruh Malaysia supaya kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Ia digalakkan oleh LZS sendiri. Mereka yang meminta kami menguar-uarkan pemberian zakat, sebab itu mereka datang ke pejabat kami untuk bergambar dan beri cenderahati.

“Mereka sendiri mahu kami memberitahu mengenai pemberian zakat kerana ia perkara wajib. Bukannya kita bayar zakat kerana mahu bersikap riak atau menunjuk jumlah bayaran. Ia lebih kepada kita nak mengajak orang,” kata Aeril.

Tambah Wawa, mereka juga mempunyai peranan sebagai majikan dan mahu menunjukkan tauladan yang baik agar ia menjadi contoh.

“Semuanya bergantung kepada individu sendiri. Jika ia dipandang negatif, maka negatiflah. Kami pun bukan sekadar mahu mengajak orang ramai atau peniaga lain, kami juga berperanan sebagai ketua kepada pekerja dan stokis lain.

“Mereka terinspirasi dengan kami. Pekerja kami sendiri pun membayar zakat. Semuanya lebih kepada mengajak orang Islam untuk menunaikan kewajiban,” katanya kepada XTRA.

Aeril dan Wawa ditemui pada majlis Wawa Glamourous Night yang berlangsung Putrajaya, pada Selasa.

Di acara terbabit, pasangan sejoli itu membuat kejutan terhadap seorang kakitangan mereka di Wawa Cosmetics dengan menghadiahkan sebuah Perodua Bezza atas dedikasi dan kecemerlangan menggalas tanggungjawab diberikan.

“Individu yang terpilih layak untuk menerima hadiah ini kerana dia mencapai mata tertinggi dalam penilaian petunjuk prestasi utama (KPI). Walaupun ada ramai lagi yang mencapai KPI syarikat tapi kami hanya dapat memberikan sebuah kereta saja.

“Insya-Allah, sekiranya Wawa Cosmetics mencapai sasaran jualan keseluruhan bernilai RM50 juta tahun ini, kami berhasrat untuk menghadiahkan sebuah rumah untuk kakitangan,” kata Wawa lagi.

Selain menghargai kakitangan, pasangan ini meraikan penjual semula produk kecantikannya yang berjaya mencapai jualan keseluruhan jutaan ringgit pada tahun 2024.

Pelbagai hadiah menarik diberikan seperti wang tunai dan pakej percutian ke Jepun.

Exit mobile version