Pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa bangga apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin berjaya memecahkan rekod yang dipegang selama 20 tahun bagi acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam.
Menerusi hantaran di Instagram, Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkongsi bahawa anaknya yang merupakan pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar itu mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 11.44 saat.
“Tahniah pasukan. Hari pertama MSSD. Alhamdulillah rezeki Airit Rayyan dapat mewakili Majlis Sukan Sekolah (MSS).
“Ryan dapat pecah rekod 20 tahun MSSD Sabak Bernam dengan rekod baharu 11.44s berbanding rekod lama 11.58s,” katanya menerusi Instagram.
View this post on Instagram
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet memuji kehebatan anak aktres popular Mami Jarum itu dek kerana bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, hafazan, malah dalam aktiviti sukan.

Sebelum ini Airit Rayyan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Malah, dia juga pernah menerima Anugerah Pengetua yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilaian Gred (PNG) 3.50 dan ke atas.