Hot FM

Ceddy Ang Terkejut Video Mengenai Rafah Masuk Berita Al Jazeera… Netizen Luah Rasa Bangga – “Real Influencer”

Tular di media sosial kini apabila video penjelasan mengenai Gaza oleh pempengaruh media sosial, Ceddy Ang dimuat naik semula oleh berita antarabangsa, Al Jazeera Mubasher.

Video pempengaruh berusia 36 itu mendapat perhatian media yang berpangkalan di Doha, Qatar apabila mereka memuat naik semula video Ceddy mengenai situasi di Gaza di platform X, baru-baru ini.

Dengan berkongsi dalam berbahasa Arab, ternyata perkongsian tersebut menarik perhatian ramai apabila ramai yang bangga dengan pencapaian tersebut.

Namun apa yang lebih menjadi perhatian adalah Al Jazeera Mubasher menggelarkan Ceddy adalah seorang pempengaruh asal Filipina dan bukannya Malaysia di ruangan kapsyen.

“Dengan papan hitam dan dalam gaya ringkas…pempengaruh Filipina meringkaskan tragedi penduduk Gaza dan menerangkan sebab dunia menumpukan perhatiannya pada Rafah,” tulis Al Jazeera Mubasher.

Ceddy

Nama disebut-sebut warganet, Ceddy tampil memberi respons terhadap perkongsian media tersebut di ruangan komen.

“Terima kasih kerana berkongsi di sini tetapi saya adalah rakyat Malaysia,” respons Ceddy.

Dalam perkongsian sama, Ceddy turut meluahkan rasa terkejut dan bersyukur dengan perkongsian positif tersebut.

“Saya sejujurnya terkejut! Tetapi bersyukur,” komen Ceddy lagi.

Terdahulu, perkongsian Ceddy menjadi tular apabila memaparkan dia gigih melukis peta Gaza bagi menerangkan situasi genting di Rafah kepada pengikutnya.

Kini, perkongsian video tersebut sudah mencecah lebih 2.4 juta tontonan di TikTok.

Ceddy juga tidak pernah berhenti bersuara malah lantang bersuara apabila menyatakan sokongannya terhadap rakyat Palestin.

Ternyata, usaha yang dilakukan oleh Ceddy wajar diberikan pujian malah diharapkan boleh membuka mata lebih ramai orang dan pempengaruh di luar sana mengenai apa yang berlaku.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Exit mobile version