Desas desas hubungan aktres Sophia Albarakbah bersama jejaka dikenali Mr Doktor yang dikatakan dilanda badai sebelum ini akhirnya terjawab sudah.
Menurut laporan Harian Metro, Sophia akhirnya mengesahkan hubungannya bersama jejaka itu sudahpun berakhir selepas hampir dua tahun menjalin cinta.
Kata pelakon drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah ini, dia dan bekas kekasihnya itu masih berhubung baik dan kini mahu memberi fokus kepada kariernya.
“Saya enggan ulas banyak soal perpisahan ini kerana kurang gemar berkongsi kehidupan peribadi kepada umum.
“Walaupun sudah berpisah, hubungan kami baik sebagai kawan. Selama ini saya susah rasa suka atau selesa dengan seseorang. Bila saya sayangkan seseorang itu, saya akan berikan sepenuh perhatian.
“Sebab itulah, saya dah tak mahu fikir soal cinta lagi selepas ini. Biarlah saya fokus dengan kerjaya seni saya sahaja,” katanya.
Kongsi pemenang trofi Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 ini lagi, dia turut mengalami penurunan berat badan dek kerana hubungannya yang terputus itu.
“Putus cinta pun salah satu faktor kerana saya kurang selera makan, tetapi mungkin sebab saya amalkan diet juga. Jujurnya saya pun tak perasan saya dah kurus sehinggalah ada kawan-kawan yang tegur,” katanya.
Terdahulu, Sophia menjadi perhatian ramai apabila kisah cintanya bersama Mr Doktor itu sering menjadi tumpuan.
Malah, keterbukaan Sophia untuk berkongsi kepada umum seperti membawa bekas kekasihnya ke acara hiburan turut menarik perhatian ramai.
Sumber: Harian Metro