Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Curi Kereta Ferrari, Anak Penyanyi Antara 6 Individu Ditahan Polis

today27 November 2024

Background

Anak seorang penyanyi tempatan antara enam individu yang ditahan selepas disyaki terbabit mencuri sebuah Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang pada  17 November lalu.

Menurut sumber Buletin TV3,  mangsa meninggalkan kenderaan mewah berwarna merah itu di premis terbabit beberapa hari sebelum kejadian  berlaku.

“Mangsa mendakwa meminta seorang pekerjanya menghantar kereta terbabit untuk dicuci beberapa hari sebelum itu.

“Pada 11 pagi, 17 November mangsa menyedari kereta berkenaan sudah hilang disyaki dicuri lalu membuat laporan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata, kejadian yang berlaku membabitkan seorang ahli perniagaan berusia 50-an.

“Polis berjaya menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 23 hingga 33 tahun di sekitar Ampang.

“Satu lagi tangkapan susulan dilakukan pada 20 November membabitkan seorang suspek lelaki berusia 38 tahun,” jelasnya.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis menemukan semula kereta Ferrari berkenaan di kawasan parkir sebuah apartment di Taman Tunku, Kuala Lumpur pada 23 November lalu.

Katanya, hasil serbuan tersebut,  seorang wanita tempatan berusia 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut 379 Kanun Keseksaan.

“Seorang suspek mempunyai dua rekod kesalahan dadah dan ujian dadah ke atasnya mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek lain tiada rekod lampau.

“Polis turut merampas antaranya, lapan telefon pintar dan empat buah kereta jenis Ferrari, Naza Suria, BMW XS, dan BMW,” katanya.

 

Sumber: Buletin TV3

Written by: Salma


Previous post