Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Dafi Beri Pesanan Agar Hargai Rezeki – “Jika Tak Suka, Tolak Sahaja”

today13 November 2025

Background

Penyanyi dan pelakon, Dafi menegur segelintir rakan industri yang lantang berkongsi isu bayaran atau gaji di media sosial seolah-olah memperlekeh rezeki sendiri.

Menurut Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 36, isu membabitkan jumlah bayaran sepatutnya tidak dijadikan bahan perdebatan umum kerana boleh mengundang pelbagai salah faham.

“Saya tak tuju pada sesiapa, tapi pada saya tak semua benda perlu dikongsi di media sosial. Nak bercakap pun kena berhati-hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Dafi berkata setiap orang memiliki tahap rezeki berbeza dan wajar menghormati nilai kerja orang lain.

“Rezeki yang kita rasa sikit, mungkin besar untuk orang lain. Kalau rasa tak berbaloi, jangan ambil. Tapi tak perlulah nak suarakan secara terbuka.

“Kita kena fikir juga, ada orang yang dengan jumlah sama dah boleh sara satu keluarga. Jadi tak eloklah kalau kita perlekeh rezeki sendiri,” katanya.

Dafi berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharunya, BF Green Flag yang berlangsung di Studio Village, Kampung Malaysia Tambahan, malam tadi.

Menjelaskan lanjut, Dafi berkata dia tidak mengenali secara peribadi individu yang dimaksudkan netizen sebelum ini, namun menganggap isu bayaran dan gaji tidak wajar dijadikan bahan umum.

“Dia ada hak untuk bersuara, tapi soal duit ini sensitif. Apa yang kita ada belum tentu orang lain ada.

“Tak perlu bandingkan dengan orang lain yang mungkin lebih popular. Kalau rasa tak sesuai, tolak saja. Jangan heboh di media sosial. Kena jaga cara bercakap,” katanya.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut menegaskan dia tidak terlalu memilih tawaran, asalkan bersesuaian dengan masa.

“Kalau saya lapang dan sesuai, saya ambil saja. Saya memang suka menyanyi, jadi walaupun bayarannya kecil, saya tetap buat. Kadang yang menjemput itu penganjur kecil atau kawan-kawan yang ada kurang berkemampuan.

“Mungkin sekarang nampak macam sedikit, tapi siapa tahu rezeki akan datang dalam bentuk lain nanti,” katanya.

Written by: Aqilah


Previous post