Pempengaruh sensasi, Alif Teega mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam berjumlah lebih RM63,000 ketika menjalani dua program infaq pada April dan Jun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, yang hadir ke Mahkamah Sesyen ditemani isterinya, Aisyah Hijanah memohon kes tersebut untuk dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, Alif didakwa berlaku tidak jujur menggunakan wang mencecah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq di Mekah, Syria, dan Palestin pada 26 April lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua Alif disyaki terlibat dalam salah guna wang derma merangkumi jumlah tunai sebanyak RM37,558. 13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN pada 15 Jun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaaan yang merangkumi hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan denda.
Julai lalu, pasangan pempengaruh islamik ini ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya atas arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung kes salah guna kuasa.
Susulan itu, Alif dan isterinya memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dakwaan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, namun permohonannya ditolak oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Terdahulu, Alif menafikan dakwaan penyelewengan dan pecah amanah serta menegaskan mereka tidak menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi seperti yang heboh di platform media sosial baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Rumah Tangga Alif Teega & Isteri Pertama Masih Utuh, Dakwaan Bakal Bercerai Tidak Benar? – “Saya & Aisyah Tak Ada Cakap Apa-Apa”
Artikel Berkaitan: Alif Teega Minta Individu Disebalik Akaun FB ‘Scam No One’ Dedah Identiti Sebenar, Dakwa Pemfitnah ‘Edit’ Bukti Seleweng Dana
Artikel Berkaitan: Isu Dakwaan Songlap Duit Kutipan Derma, Alif Teega Buka Mulut – “Terlalu Banyak Tuduhan & Fitnah Tak Berasas Dicipta”
Sumber: Harian Metro