Imbas untuk muat turun aplikasi

Lifestyle

Dari Pengacara Ke Pelakon, Uyaina Arshad Digelar Anak Emas?

today15 February 2019

Background
Pengacara rancangan TV3 Nona, Uyaina Arshad semakin menempa nama dalam industri seni.
Dua tahun mengendalikan Nona, Uyaina berhijrah pula ke negara jiran, mencuba nasib di sana.
Dia menyertai program Puteri Muslimah Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, dan lantas diumumkan juara.
Selepas itu, Uyaina mula dikenali dan sering menjadi pilihan stesen televisyen popular Indonesia, Indosiar untuk mengendalikan program terbitan mereka.
Selepas memperoleh banyak peluang yang ditawarkan kepadanya, Uyaina digelar “anak emas” stesen televisyen itu.

Namun Uyaina berkata,

“Sama seperti personaliti televisyen lain di sana, saya juga perlu berusaha keras mencari peluang. Saya tidak mendapat sebarang keistimewaan, apatah lagi persaingan di sana begitu sengit.”
“Saya akui, agak sukar menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Tidak mudah menghadamnya kerana di negara sendiri, cara pengacaraan kita lebih terkawal.”

Menurut Uyaina, perbezaan itu memberikannya cabaran untuk menguji kreativiti minda supaya kemunculannya tidak ditenggelami pengacara lain.
Uyaina bakal kembali ke Jakarta bagi mengendalikan program Puteri Muslimah Indonesia 2019, seterusnya Akademi Sahur Indonesia 2019 pada Mei ini.
Selain dilamar sebagai pengacara, Uyaina, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang Undang, juga memperoleh kesempatan mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan di sana.
Dalam perkembangan sama, Uyaina sedang menjalani penggambaran drama berjudul Curi-Curi Cinta, bergandingan dengan Aiman Hakim dan Zahirah McWilson.

Menurut Uyaina, walaupun hanya memegang watak pembantu, drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu agak berat dan banyak bermain emosi.

Sumber: Instagram Uyaina dan Berita Harian

Written by: Jay


Previous post