Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Dedah Punca Cerai, Afdlin Shauki Masih Baik Dengan Bekas Isteri- “Menitik Juga Air Mata Saya Ketika Itu…”

today22 August 2022

Background

Pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Afdlin Shauki mendedahkan hubungannya dan bekas isteri, Datin Christina Orow Abdullah masih dalam keadaan baik walaupun sudah berpisah sejak Ramadan lalu.

Memetik laporan Gempak, Afdlin masih menganggap bekas isteri sebagai seorang sahabat memandangkan mereka banyak menghabiskan masa sebagai rakan sekerja, terutama dalam bidang penulisan skrip.

“Jujurnya, bekas isteri saya itu adalah sahabat saya untuk selamanya. Selepas lama bekerja berdua, saya juga anggap dia sebagai rakan dalam bidang penulisan, sebab dia sangat bagus menulis.

“Jika ditanya, adakah kami masih berbaik antara satu dengan lain, jawapannya ya. Kami memang boleh bekerja berdua namun bukan lagi secara peribadi,” katanya.

Pada masa sama, Afdlin memberitahu dengan lebih terperinci punca dia dan isteri membuat keputusan untuk tidak lagi bergelar suami isteri.

“Sewaktu pandemik melanda dunia, saya banyak bekerja luar. Keluarga pula takut dengan virus dan situasi pada waktu itu. Jadi, saya banyak kali tidak balik rumah. Bimbang jika saya terbawa virus tersebut di kediaman.

“Sungguhpun begitu, kami tetap berhubungan antara satu dengan lain seperti berbual dengan menggunakan telefon atau video call. Mungkin itu antara sebab hubungan kekeluargaan kami terganggu,” ujarnya.

Menurutnya, anak-anak, Mia Sarah, Anais dan Ileana Matin juga memahami dengan keputusan yang diambil kedua ibu bapanya.

“Kami duduk berborak dengan anak-anak ketika bulan Ramadan dan kami terangkan pada mereka agar mereka faham. Menurut anak-anak, jika kami bahagia, mereka okey dengan keputusan yang diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin tidak pernah terfikir untuk kembali semula dengan bekas isteri namun tidak pernah tutup pintu hatinya.

“Saya tidak pernah tutup pintu hati saya sekiranya ada rezeki. Cuma pada ketika ini, kami tidak pernah berbicara soal untuk kembali bersama.

“Ketika di mahkamah, kami mohon maaf antara satu sama lain dan berpelukan buat kali terakhir sebelum saya lafaz talak.

“Menitik juga air mata saya ketika itu. Tetapi, apa yang saya rasa itu perkara yang kami mahukan dan betul untuk dilakukan,” katanya lagi.

Sumber: Gempak

Written by: Aqilah


Previous post