
KUALA LUMPUR: Seorang warga Britain menyaman sebuah hospital swasta terkemuka di ibu kota kerana didakwa mendedahkan rekod perubatan peribadinya yang dikatakan untuk digunakan terhadapnya dalam saman kecuaian lain melibatkan kedua-dua pihak.
Christine Lees menuntut ganti rugi khas RM3 juta, selain ganti rugi am dan punitif daripada Pusat Perubatan Prince Court yang didakwa melanggar kontrak, kewajipan fidusiari, kerahsiaan serta melanggar hak privasinya dan undang-undang perlindungan data.
Plaintif mendakwa hospital itu sengaja mahu memalukannya apabila melepaskan rekod perubatannya kepada peguam mereka sebagai sebahagian daripada pembelaan dalam saman cuai berhubung kesilapan yang dikatakan mengakibatkan kecacatan anaknya.
Lees mendakwa mengalami tekanan emosi, kecederaan psikiatri, kehilangan privasi…