Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Dewa 19 Gegarkan Kuala Lumpur, Pukau 8,000 Peminat Dengan Persembahan Luar Biasa

today10 September 2022

Background

Kumpulan muzik terkenal, Dewa 19 akhirnya menunaikan impian peminat di Malaysia dengan Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 kumpulan berkenaan yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Dengan slogan, 30 tahun, 30 kota dan 30 buah lagu,Β konsert yang diadakan dua hari berturut-turut ini menerima sambutan luar biasa.

Selepas konsert yang diadakan pada tahun 2019 tanpa kehadiran figura muzik, Ahmad Dhani, kali ini peminat pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kelima-lima vokalis kumpulan terkenal itu beraksi di atas pentas yang sama.

DihadiriΒ  lebih 8,000 peminat tanah air, konsert Dewa 19 ternyata memukau dengan lagu-lagu popularnya dan juga barisan vokalis kumpulan terkenal itu termasuklah, Virzha, Once Mekel, Ahmad Dhani, Ari Lasso dan Ello.

Namun, antara vokalis yang paling mendapat sorakan gemuruh penonton adalah ketika kemunculan Once Mekel.

β€œSudah lama saya tidak menjejakkan kaki di Malaysia. Ini malam yang palingΒ  terbaik.

β€œTanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” katanya sebelum meneruskan nyanyian Roman Picisan.

#Dewa19AnniversaryTour yang diadakan kali ini juga pastinya meninggalkan momen manis buat semua Baladewa dan Baladewi yang hadir, apatah lagi peminat turut didendangkan dengan 37 buah lagu popular kumpulan itu sepanjang kerjaya seni mereka.

Antara lagu-lagu hits mereka adalah, Pupus, Larut, Sedang Ingin Bercinta, Arjuna dan Roman Picisan.

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu turut berada dalam fasa sentimental yang tersendiri apabila semua penonton diminta untuk menyalakan lampu telefon bimbit masing-masing bersama iringan lagu tanpa muzik berjudul, Hadapi Dengan Senyuman.

Bahkan, konsert ini melabuhkan tirainya dengan dendangan lagu popular mereka, Separuh Nafasku yang dinyanyikan oleh kelima-lima vokalis kumpuan Dewa 19.

Written by: Aqilah


Previous post