Penyanyi Ayu Damit membuka cerita tentang pengalaman pahit yang lama dipendam apabila berdepan tanggapan negatif dan kecaman terhadap penampilan diri sehingga memberi kesan mendalam kepada kesihatan mentalnya.
Penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu mengakui, sepanjang hampir 18 tahun bergelar anak seni, dia sering menerima label berimej kampung, tidak cantik serta dianggap tidak layak berada dalam industri hiburan kerana wajah yang dikatakan terlalu desa.
Lebih menyedihkan, ada pihak yang secara terbuka menyatakan dirinya tidak mempunyai masa depan sebagai penyanyi hanya kerana tidak memenuhi standard kecantikan tertentu.
“Saya pernah rasa sangat kecewa dan tersinggung. Apabila orang cakap wajah saya kampung, tak cantik dan tak sesuai jadi penyanyi, lama-lama semua itu melekat dalam fikiran.
“Daripada situlah saya mula alami kemurungan,” kata Ayu dengan jujur.
Menurut Ayu, kritikan yang diterima bukan sekadar komen sekali lalu, sebaliknya datang bertubi-tubi sehingga membuatkan dia mula mempersoalkan nilai diri sendiri.
Tekanan itu semakin dirasai apabila dia cuba memperbaiki penampilan dengan berpakaian lebih kemas dan menarik setiap kali membuat persembahan, namun usaha tersebut masih dipertikaikan.
“Bila saya cuba tampil cantik, ada pula yang kata saya berlebihan. Bila jaga penampilan, tetap ada yang tidak puas hati. Apa sahaja yang saya buat, semuanya dianggap salah,” katanya.
Lebih menyakitkan, Ayu turut berdepan tuduhan keterlaluan apabila mahu kelihatan menarik di atas pentas. Ada yang melabelnya seksi dan mengaitkan penampilannya dengan cara didikan suami.
“Ada yang sampai sanggup kata suami saya tak pandai mendidik isteri. Cara saya bertudung pun dihina, kata ketat macam pakai pembalut nangka. Kata-kata seperti itu bukan sekadar menghina saya, malah seolah-olah menjatuhkan maruah keluarga. Saya sangat sensitif apabila melibatkan keluarga.
“Saya manusia biasa. Saya ada perasaan. Di luar mungkin nampak kuat, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya simpan semua ini.
“Saya belajar untuk berdamai dengan diri sendiri dan sedar nilai seorang wanita bukan terletak pada kecantikan di mata manusia, tetapi pada kekuatan jiwa dan keikhlasan hati,” katanya.

Selepas melalui fasa sukar dan berdepan kemurungan akibat tekanan serta kecaman, Ayu mendapatkan bimbingan daripada seorang figura yang kini dikenali sebagai Dr Healing, iaitu Dr Hisham Dzakiria.
Pertemuan tersebut menjadi titik perubahan buat Ayu untuk kembali menenangkan diri, mengurus emosi dan melihat perjalanan hidup dengan lebih jelas dan tenang.
Dalam memberi panduan kepada individu yang berdepan tekanan emosi, Dr Hisham menegaskan bahawa ujian hidup tidak memilih status atau gelaran seseorang. Katanya, keupayaan mengawal reaksi dan emosi jauh lebih penting dalam menentukan kekuatan diri ketika melalui fasa mencabar.
“Dalam kes Ayu, kita perlu faham bahawa nama atau status bukan punca ujian datang. Setiap manusia pasti melalui jatuh dan bangkit dalam hidup.
“Saya selalu ingatkan Ayu bahawa perkara paling utama adalah mengawal reaksi dan emosi.
“Jangan beri ruang kepada suara negatif kerana apabila terlalu dilayan, kita akan hilang fokus, arah dan akhirnya kehilangan diri sendiri.
“Apa yang berlaku dalam hidup bukan satu kebetulan. Semuanya adalah takdir dan kita perlu percaya setiap ketentuan Allah itu yang terbaik, walaupun hikmahnya belum kita nampak sekarang,” katanya.
Ayu dan Dr Hisham berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Grand Opening Healing Centre Dr Hisham Dzakiria di Shah Alam, Selangor.

Dalam dunia serba pantas hari ini, tekanan emosi bukan lagi isu terpencil, sebaliknya menjadi realiti harian yang turut melibatkan kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa.
Peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan, keletihan emosi serta masalah tingkah laku menggambarkan satu hakikat bahawa kesihatan emosi dan minda memerlukan perhatian sama serius seperti kesihatan fizikal.
Atas keperluan tersebut, Healing Centre Dr Hisham Dzakiria, sebuah pusat terapi emosi ditubuhkan sebagai pusat intervensi yang praktikal, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian bagi membantu individu mencapai kestabilan emosi serta transformasi minda secara berkesan.
“Kami menubuhkan Healing Centre dengan misi menjadikan perkhidmatan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh masyarakat kerana ramai yang bergelut secara senyap dengan kemurungan, stres, fobia dan masalah hubungan.
“Kami mahu membantu mereka mencari jalan kembali kepada kesejahteraan hidup.

“Kami percaya kesihatan mental adalah hak setiap individu. Pasukan kaunselor kami komited menyediakan ruang selamat tanpa penghakiman, supaya setiap orang boleh berkongsi beban dan memulakan proses pemulihan dengan sokongan profesional.
“Ramai masih segan mendapatkan rawatan berkaitan mental kerana stigma negatif. Hakikatnya, meminta bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah berani ke arah kehidupan yang lebih baik. Insya-Allah, kewujudan Healing Centre ini dapat membantu menghapuskan stigma tersebut,” katanya.
Healing Centre Dr Hisham Dzakiria merupakan subsidiari di bawah syarikat Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd yang mengendalikan seminar pengurusan kesihatan mental serta pembangunan diri.
Orang ramai boleh menghubungi 010-3243243 untuk membuat janji temu atau hadir ke No 12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, 40170 Shah Alam. Pusat ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.