Pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo, telah diarahkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk membayar ganti rugi sebanyak RM20,000 kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew atas tuduhan bahawa pendakwah itu merogolnya.
Perintah ini dikeluarkan selepas mahkamah mendengar hujah dari Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit sebagai plaintif.
Ebit kemudian berkongsi keputusan tersebut di laman sosialnya hari ini.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah, saya menang saman terhadap Mondy atau Dita Restu, dan beliau diarah untuk membayar RM20,000 kepada saya,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, Ebit turut memuat naik tangkap layar writ saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Berdasarkan dokumen tersebut, Mondy diperintahkan untuk membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 bersama faedah sebanyak 5 peratus setahun bermula dari tarikh pemfailan writ saman hingga penyelesaian penuh kes.
Ebit juga memberitahu bahawa saman terhadap Caprice yang menyiarkan podcast mengenai dakwaan ini akan dibicarakan pada Mei tahun ini.
Sebelumnya, Mondy telah membuat laporan polis berkaitan dakwaan gangguan seksual oleh pendakwah tersebut. Ebit juga membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan tersebut dan membuat laporan penafian tentang kes gangguan seksual itu.
Pada 6 Jun tahun lalu, pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak mendakwa Ebit atas tuduhan merogol Mondy selepas menyelesaikan siasatan.
Pada 26 September 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice (Ariz Ramli) dan Mondy (Dita Restu Amanda). Dalam penyataan tuntutannya, Ebit menyatakan bahawa beliau mengenali Mondy, yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan, semasa menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun 2023.