Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Eda Ezrin & Empat Rakan Bebas Tuduhan Miliki D*dah, Namun Berdepan Penahanan Sebulan Lagi

today7 March 2025

Background

Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama suami dan empat yang lain mungkin perlu terus berada dalam penjara selama sebulan lagi sementara pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini.

Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz, memaklumkan bahawa pendakwaan mempunyai tempoh sebulan untuk mengemukakan rayuan, dan sepanjang tempoh tersebut, kesemua anak guamnya perlu kekal dalam tahanan.

Walaupun begitu, beliau tetap bersyukur kerana anak guamnya telah dibebaskan daripada tuduhan memiliki dadah.

“Mereka hanya dikenakan hukuman penjara enam bulan serta denda kerana kesalahan mengambil dadah, namun tempoh hukuman itu telah pun selesai dijalani,” katanya.

“Dua lagi individu yang memasuki Thailand tanpa dokumen sah turut dikenakan denda,” tambahnya.

Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan kesemua mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu setelah panel dua hakim mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Bagi kesalahan mengambil dadah, mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang, namun hukuman tersebut telah selesai dijalani.

Sementara itu, Erdeka Mohd Noor dan Zuhaira Nasrin, yang didakwa memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan sah, turut dikenakan denda RM526.

Dalam hujahan penghakiman, hakim menjelaskan bahawa keputusan pembebasan dibuat kerana tiada bukti kukuh yang mengaitkan dadah tersebut dengan para tertuduh.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga tidak menunjukkan bahawa bekalan dadah itu dibawa oleh mereka.

“Sebaliknya, rakaman CCTV membuktikan bahawa dadah tersebut sebenarnya dibawa masuk oleh tiga individu lain,” katanya.

Written by: Salma


Previous post