Pelakon jelita, Emma Maembong mengesahkan sudah bercerai dalam rumah tangga yang terbina bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
Memetik laporan Harian Metro, Emma memaklumkan dia sudah tamat tempoh iddah, namun enggan berkongsi lebih lanjut mengenai butiran perceraian mereka.
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah.
“Perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” katanya.
Dalam pada itu, Emma turut menjelaskan dia masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram (IG) hanya demi menjaga emosi anak-anak mereka.
“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini.
“Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini.
“Saya nak anak-anak saya melihat keluarganya masih bahagia,” tuturnya lagi.
Reda jodoh mereka terhenti di usia perkahwinan selama empat tahun itu, Emma bagaimanapun meluahkan kata syukur apabila masih boleh nengekalkan hubungan yang baik bersama bekas suami.
“Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami masih baik. Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang.
“Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Fokuskami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang.
“Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami,” ujarnya.
Sekadar info, Emma dan Shazli berkahwin pada 20 Februari 2020 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Sumber: Harian Metro