Obsesi terhadap populariti dan harga yang perlu dibayar demi mengejar kejayaan menjadi nadi utama drama bersiri terbaharu Tonton, Santau Perempuan Terlarang, yang disifatkan antara naskhah seram thriller paling berani tahun ini.
Menutup tirai 2025, karya eksklusif Tonton ini bakal menemui penonton bermula 18 Disember 2025, disiarkan setiap Isnin dan Khamis dengan durasi satu jam bagi setiap episod.
Dibintangi barisan pelakon berkaliber seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela, drama ini membawa penonton menyelami sisi gelap dunia hiburan, apabila keinginan untuk berada di puncak populariti mendorong seseorang menggadaikan prinsip, maruah dan kepercayaan diri.
Mengulas cabaran membawakan watak Sapora, Emma Maembong menyifatkan karakter itu sebagai antara peranan paling kompleks pernah dilakonkan.
“Saya sudah lama tidak kembali ke genre mistik. Watak Sapora memberi ruang untuk saya meneroka sisi psikologi yang lebih mendalam. Dia bukan sekadar wanita misteri, tetapi lambang obsesi dan kuasa,” katanya.
Menurut Emma, karakter tersebut menuntut pengawalan emosi yang sangat halus, terutama apabila melibatkan unsur sensual, trauma dan manipulasi psikologi.
Kisahnya memfokuskan kepada Iqbal (Nabil Aqil), seorang pelakon yang sudah lama bertarung nasib dalam industri seni namun terus dipinggirkan. Walaupun menghadiri uji bakat tanpa henti, namanya sering tenggelam apabila watak utama yang diimpikan berulang kali menjadi milik Ako Danial (Fadlan Hazim), pelakon sensasi yang sentiasa menjadi rebutan penerbit.

Tekanan demi tekanan akhirnya memberi kesan kepada kehidupan peribadi Iqbal apabila hubungan dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), mula retak akibat masa depan yang kabur dan kerjaya yang tidak menentu.
Ketika hidupnya berada di titik terendah, Iqbal diperkenalkan oleh rakannya, Maman (Amin Iman), kepada seorang wanita misteri bernama Sapora (Emma Maembong), yang dikatakan mampu membantu melalui rawatan tradisional bagi ‘membersihkan aura’ dan membuka jalan rezeki.
Pertemuan dengan Sapora menjadi titik perubahan besar apabila kehidupan Iqbal berubah secara drastik dan impian yang selama ini sukar digapai seolah-olah terbentang di hadapan mata. Namun, kejayaan itu hadir bersama persoalan yang menghantui apakah sebenarnya harga yang perlu dibayar, dan adakah Iqbal sedar dirinya sedang terperangkap dalam satu perjanjian yang tidak disedarinya?
Nantikan Santau Perempuan Terlarang, sebuah kisah penuh rahsia dan bayang-bayang yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada penonton, bermula minggu ini, eksklusif di Tonton.