Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Ernie Zakri Jalin Kolaborasi Dengan Govinda, Lagukan Semula ‘Hal Hebat’

today30 July 2022

Background

Penyanyi popular, Ernie Zakri menjalin kolaborasi dengan band ternama Indonesia, Govinda, dalam sebuah single berjudul Hal Hebat.

Menyanyikan semula lagu terbabit, Hal Hebat adalah single paling popular pernah dinyanyikan oleh Govinda dengan jumlah tonton menghampiri 20 juta sejak pelancarannya kira-kira dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ini adalah sebuah kolaborasi istimewa di antara Malaysia dan Indonesia yang jarang-jarang berlaku.

“Idea disebalik ‘pertemuan’ ini datangnya dari pihak Rocketfuel Entertainment dan juga MyMusic Records Indonesia yang mahukan kerjasama muzikal di antara dua benua terjalin,” jelas Ernie.

Single Hal Hebat ciptaan Ade Govinda yang dihasilkan sekitar awal tahun 2020 telah mendapat sambutan luar biasa di negara asalnya, Indonesia, sehingga menjadi tular di Malaysia.

“Proses rakaman lagu ini mengambil masa selama sehari kerana mengejar jadual kerja yang agak padat. Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri iaitu Ade sesuai dengan konsep duet yang kami tampilkan, namun masih mengekalkan feel yang sama kerana melodi terdahulu sudah cukup sempurna.

“Selain itu, proses penggambaran video muziknya (MV) turut diadakan di sana dalam waktu yang singkat. Walaupun agak lelah berkejar-kejar ke sana dan ke sini, semuanya sangat berbaloi.

“Saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana band sebelum ini tetapi mereka sangat mesra walaupun baharu pertama kali bersua dan chemistry di antara kami terus terjalin memudahkan proses rakaman.

“Govinda adalah sebuah kumpulan muzik yang berpengaruh dengan pengalaman lebih 10 tahun lamanya dalam bidang muzik. Mereka sangat terkenal dan sudah menempa nama di Indonesia.

“Saya rasakan peluang sebegini tidak seharusnya dipersia kerana bukan mudah untuk band besar seperti mereka mahu berduet dengan artis dari Malaysia seperti saya, tambahan pula menyanyikan semula lagu hit mereka,” kata Ernie lagi.

Perjalanan seni Ernie tidak kurang lamanya dan berusia lebih dari sedekad, kini, berbekalkan azam dan usaha yang jitu, anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur ini bakal membanggakan negara yang dicintainya dengan memasuki pasaran Indonesia.

“Saya tidak mahu berada pada satu takuk sahaja, saya juga mahu cuba melebarkan sayap ke negara luar. Namun semua ini tidak akan menjadi tanpa usaha yang berterusan serta doa-doa anda semua, jadi teruskanlah mendoakan perjalan seni saya agar saya dapat membina nama yang dapat membanggakan kita semua.

“Semoga Hal Hebat nyanyian kumpulan Govinda dan saya dapat diterima baik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia juga, dan teruskanlah menyokong kerjaya saya sampai bila-bila,” akhiri Ernie.

Written by: Aqilah